Home » Adat » Legenda Kisah Puteri Saadong

Legenda Kisah Puteri Saadong

putri saadongBerapa ramai antara kita yang mengetahui akan nama lama bagi negeri Kelantan Darul Naim? Pernahkah anda mendengar Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong? Nama yang menggambarkan akan sebuah kerajaan yang terlalu indah, dikelilingi gunung dan banjaran, serta kawasan lembah yang dipenuhi bunga-bungaan yang pelbagai bentuk dan rupa. Cerang Tegayong pula memberi makna cahaya yang menyimbahi di celahan dedauan pohon tegayong. Begitulah keindahan yang digambarkan melalui nama lama itu

Demikianlah juga akan gambaran pemerintahnya, Chik Siti Wan Kembang, juga dikenali juga Paduka Chik Siti. Satu satunya Raja Perempuan yang sangat dikenali demi kewibawaan baginda, keadilan yang menjadi teras pemerintahannya, kebijaksaan serta keperwiraan baginda walaupun baginda adalah seorang wanita, menjadikan nama Paduka Chik Siti begitu gah dan melata tersebar akan kisahnya di serata rantau Nusantara, dan kerajaannya yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa dipenuhi rakyat jelata yang tidak terkira banyaknya. Berikut kerana itu, terdapat cerita orang, pedagang-pedagang yang datang berdagang ke Kelantan, enggan untuk meninggalkan negeri itu, hingga sanggup menenggelamkan kapal masing-masing untuk dijadikan alasan supaya dapat terus kekal di Kelantan. Demikianlah diceritakan orang….

Tersebut pula akan sebuah kerajaan yang berjiran dengan Tanah Serendah Sekebun Bunga itu, bernama Jembal, terletak di bahagian timur lautnya. Yang mana pada ketika itu dalam tahun 1638 Masehi, Raja Besar telah menyerahkan takhta kepada anakandanya, Raja Sakti dan Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong.

Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung. Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan “Istiadat Bersiram” di pinggir Sungai Babong, yang mana keramaiannya berlangsung selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun “ghaib” dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini. Raja Loyar sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang “keramat”.

Hubungan baik terjalin antara kerajaan Jembal dan Kelantan sementelah Kelantan sebuah kerajaan yang gagah perkasa. Perutusan senantiasa bertukar tangan demi perhubungan yang baik itu hinggalah dibawah pemerintahan Raja Loyar yang menggantikan ayahandanya. Raja Loyar telah dikurniakan dua cahaya mata yang mana, seorang lelaki dinamakan Raja Sakti, demi mengenangkan nendanya tapi malang telah mangkat ketika masih kecil, dan kedua pula seorang perempuan dinamakan Puteri Mariam, yang mana lebih dikenali sebagai Puteri Saadong. Paduka Chik Siti yang amat tertarik dengan perilaku dan rupa Puteri Saadong itu telah berhasrat untuk mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkatnya dan juga bakal pewaris takhta, kerana Paduka Chik Siti itu tidaklah bersuami dan tidak mempunyai sebarang anak . Hasrat itu disuarakan kepada Raja Loyar dan seakan seribu rahmat, hajat Paduka Chik Siti diperkenankan oleh Raja Loyar. Puteri Saadong dan Paduka Chik Siti pun berangkat pulang ke Gunung Chinta Wangsa dan bersemayam disana. Sebagai tanda kasih sayang seorang ibu, Paduka Chik Siti memerintahkan para pembesar dan hulubalang mendapatkan dua ekor kijang untuk dijadikan belaan dan teman permainan Puteri Saadong dan dari situlah menjadi lambang pada jata negeri Kelantan yang kekal hingga ke hari ini.

Puteri Saadong membesar, dididik dan diasuh dengan penuh limpahan kasih sayang dari bondanya dan sebagai bakal pewaris takhta. Selain dari itu kejelitaan rupa paras membawa kepadanya gelaran Puteri Wijaya Mala dan kerana itu jugalah nama Puteri Saadong sangat-sangat terkenal, seperti bondanya, Paduka Chik Siti. Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Paduka Chik Siti, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.

Maka, berlangsunglah istiadat perkahwinan Puteri Saadong dan Raja Abdullah di Gunung Chinta Wangsa dengan penuh kemeriahan dan temasya yang berlangsung berpuluh-puluh hari lamanya. Kemeriahan itu disambut indah dan penuh takzim oleh sekelian rakyat jelata yang merupakan satu anugerah yang penuh rahmat bagi seluruh Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga serta juga Kerajaan Jembal. Semua hamba rakyat juga dapat melihat akan Puteri Saadong yang bakal mewarisi pemerintahan bondanya, Chik Siti Wan Kembang menjadi seorang pemerintah yang adil dan saksama dan moga Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga terus kekal sebagai sebuah kerajaan yang agung, aman dan sentosa. Namun itu hanyalah satu tanggapan…sesungguhnya mereka terlupa tentang seseorang yang sedang memendam perasaan….

Setelah berberapa ketika selepas perkahwinan antara Puteri Saadong dan Raja Abdullah, Paduka Chik Siti mengambil keputusan untuk terus menyerahkan takhta yang sekelian lamanya baginda duduki, diambil alih oleh puteri kesayangannya itu. Setelah selesai istiadat pertabalan Puteri Saadong dan Raja Abdullah sebagai pemerintah Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga yang baru, baginda berdua berpendapat untuk membuka pusat pemerintahan yang baru dan mereka melihat sebuah tempat yang terletak di hilir negeri Kelantan sebuah tempat yang sesuai. Dan kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin, namun bagi Paduka Chik Siti, baginda mahu terus menetap di Gunung Chinta Wangsa kerana baginya, disitulah tempat yang lebih sesuai bagi dirinya. Disini baginda mahu mengasingkan diri, mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan amal ibadat kepada Allah Taala. Dan disinilah, Paduka Chik Siti yang ketika itu telah menjangkau usia senjanya, telah jatuh gering dan setelah berberapa lama, Paduka Chik Siti pun mangkat, menjadi satu berita yang amat menyedihkan bagi seluruh negeri Kelantan: sesungguhnya mereka kehilangan seorang pemerintah yang sangat sukar untuk dicari ganti. Dikatakan baginda telah dimakamkan di Kampung Banggol yang terletak tidak jauh dari Kota Bahru, ibu negeri Kelantan sekarang.

Maka pemerintahan Puteri Saadong pun bermula dan baginda memang seorang pemerintah yang seperti yang diharapkan oleh sekelian rakyat Kelantan. Dengan sebolehnya, baginda meneruskan sifat dan ciri almarhum bondanya, Paduka Chik Siti; seorang pemerintah yang adil dan saksama. Namun, keamanan itu bakal berakhir tidak lama lagi…

Raja Siam yang pernah kecewa akibat gagal memiliki Puteri Saadong, kini amat murka apabila menerima khabar bahawa puteri idamannya itu kini dimiliki oleh Raja Abdullah. Dan kemarahan itu tidak berakhir disitu. Raja Siam telah membentuk sebuah angkatan tentera yang besar untuk menyerang negeri Kelantan dan satu tujuan yang nyata, iaitu memiliki Puteri Saadong! Padanya, puteri itu hanya layak untuk dimiliki olehnya, bukan lelaki lain. Berita akan serangan yang bakal berlaku itu sampai ke pengetahuan Raja Abdullah dan baginda mengambil keputusan untuk meninggalkan Kota Jelasin dan menuju ke daerah Melor dan disini baginda membuka penempatan yang baru dinamakan Kota Mahligai. Namun, apalah kudrat itu jika dibandingkan dengan keupayaan tentera Raja Siam yang besar dan terkenal dengan kehandalannya. Tindak tanduk Raja Abdullah dapat dihidu oleh Raja Siam dan Kota Mahligai telah diserang dengan dasyat. Kemusnahan dan kehancuran merebak dengan meluas, kematian berlaku dimana-mana.

Puteri Saadong yang melihat akan kehancuran kerajaannya itu berasa amat kecewa, tambahan pula baginda merasakan dirinya seaakan gagal untuk menjaga amanat dari paduka bondanya, Paduka Chik Siti. Baginda mahu melihat kemusnahan ini berhenti serta merta dan tidak mahu, kerana dirinya, Kerajaan tanah Serendah Sekebun Bunga yang menanggung akibat. Baginda tahu, satu keputusan segera perlu dibuat, meskipun itu bakal mengorbankan dirinya.

Biarlah dirinya dimiliki oleh Raja Siam, asalkan rakyat jelata tidak terus menerima akibat! Raja Abdullah amat kecewa dengan keputusan isterinya tetapi baginda juga sedar, itu adalah demi masa depan kerajaan dan rakyat jelata. Niat Raja Siam menyerang Kelantan cuma satu, iaitu memiliki Puteri Saadong, jadi, dari terus menerima azab, biarkanlah Raja Siam itu mendapat apa yang dihajatinya. Tapi sumpah dan janji Puteri Saadong pada suaminya, Raja Abdullah, walau apa pun, Raja Siam itu hanya mampu memiliki tubuhnya, tapi tidak cinta dan hatinya. Dan demi itu juga, Puteri Saadong juga berjanji, pada suatu hari nanti, Puteri Saadong akan tetap kembali kepada Raja Abdullah. Meskipun berat bagi Raja Abdullah, itulah satu-satunya jalan yang terbaik….

Sebaik sahaja Puteri Saadong menawarkan diri untuk dimiliki oleh Raja Siam, serangan keatas Kota Mahligai dihentikan serta merta…masakan tidak hajat dan tujuan yang terpendam dan impian yang disangka telah terkubur kini termakbul. Sebuah angkatan besar ditubuhkan seakan sebuah angkatan perkahwinan, bersertakan gajah kenaikan besar membawa Puteri Saadong meninggalkan tanah Kelantan menuju pulang ke Siam. Diatas gajah itu Puteri saadong melemparkan pandangan kearah tanah tercinta demi korban serta kasih sayang terhadap rakyat jelata dan tentu khususnya kepada suami yang amat dicintainya, Raja Abdullah. Namun sumpah dan janjinya pemergiannya ke Siam bukanlah untuk selamanya tetapi baginda tetap akan kembali…itu janjinya.

Di Siam, setiap saat dan masa Puteri Saadong bermohon kepada Tuhan Yang Maha Esa agar dipeliharakan dirinya dari nafsu serakah Raja Siam yang tidak putus harap dan sentiasa mencari jalan untuk meraikan kejayaan menawan “kemenangannya” di Kota Mahligai. Kesuciannya hanya untuk dinikmati suami tercinta yang telah ditinggal jauh di Kelantan tetapi tanpa penat dan serik Raja Siam tetap cuba utnuk merampasnya dari Puteri Saadong.

Dan hinggalah pada satu peristiwa, nekad Raja Siam yang durjana itu membawa padah pada diri sendiri. Berkat ilmu yang diperturunkan serta diwarisi dari paduka bonda yang tercinta Almarhum Chik Siti Wan Kembang dan juga berkat doa yang tak putus jemu dipanjatkan kepada Allah Azzawajala, sewaktu Raja Siam sedang cuba meniduri puteri jelita itu, serta merta Raja Siam diserang penyakit sopak dan gatal-gatal yang melampau hingga menyebabkan kulitnya berdarah dan bernanah. Serta merta Raja itu meninggalkan kamar tempat baginda menawan Puteri Saadong.

Keadaan berlanjutan hingga Raja Siam itu terpaksa membawa perkara itu kepda nujum istana yang mana nujum telah membawa kesimpulan yang amat sukar untuk diterima. Kerana Daulat yang kukuh terpelihara pada diri Puteri Saadong, mengakibatkan punca penyakit yang sedang galak mengembang di badan Raja Siam itu. Hanya satu cara sahaja yang dapat menghentikan bencana itu iaitu dapatkan air basuhan kaki puteri itu dan ia akan menjada penawar pada racun yang sedang merebak.

Kepastian itu amat sukar untuk ditelan oleh Raja Siam, namun keadaan dirinya yang sangat darurat hinggakan baginda berasa malu untuk keluar menjalankan urusan negara akhirnya terpaksa menerima hakikat dia terpaksa menunduk kalah pada tawanannya. Pujuk demi pujuk, rayu demi rayu akhirnya Puteri Saadong akur tapi dengan bersyarat. Tinggalnya di Siam akan tamat setelah dia menyerahkan air basuhan kaki tersebut dan Puteri Saadong minta agar dihantar pulang ke Kota Mahligai, demi baginda terlalu rindukan tanah tempat tumpah darahnya dan yang paling penting mengotakan janji pada suami tercinta Raja Abdullah yang telah ditinggalkan setelah sekian lama.

Janji dikota dan Puteri saadong dihantar pulang ke Kota Mahligai. Tiada yang dirasa oleh puteri itu selain rasa syukur yang tinggi dan peluang untuk baginda melepaskan rindu nan membuak bakal termakbul. Impian untuk mengotakan janji kepada Raja Abdullah bukan lagi sekadar mimpi yang menghantui tidurnya setiap malam selama baginda terseksa di Siam. Namun siapalah kita manusia yang serba lemah jika dibandingkan dengan takdir Tuhan yang telah tertulis….

Bayangkan rasa yang bercambah dihati seandainya kepulangan yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran oleh sang suami, sebaliknya melihat suami yang dirindui telah mengambil langkah untuk berpaling dari janji. Patah hati Puteri Saadong melihat Raja Abdullah berada diatas singgahsana bersama isteri baru, Puteri Rokiah anak kepada Penghulu Ngah Jembal. Berlaku pertengkaran yang dasyat antara suami isteri itu dan akibat dari gagal menahan rasa amarah dan cemburu lantaran rasa diri dikhianati, Puteri Saadong mencabut pacak sanggul emas lantas menusuk ke perut suaminya. Lantas Raja Abdullah terjelepok jatuh di kaki tangga singgahsana kaku tidak bernyawa. Puteri Saadong lantas sedar dari lamunan rasa amarahnya namun apakan daya, perkara yang telah berlaku tidak lagi boleh ditarik balik.

Menyesali dan bertaubat atas ketelanjurannya, Puteri Saadong telah turun dari takhta kerajaan Kota Mahligai dan menyerahkannya kepada adinda kepada Almarhum Raja Abdullah, Raja Abdul Karim. Sementelah itu Puteri Saadong telah membawa diri meninggalkan Kota Mahligai dan menuju kearah Gunung Chinta Wangsa tempat persemayaman almarhum bondanya untuk mengasingkan diri dan menyerahkan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa. Dan semenjak dari itu tiadalah lagi khabar diketahui tentang puteri jelita yang pernah menggugat keagungan kuasa seorang Raja dan juga yang amat dicintai oleh hambanya…Demikianlah diceritakan orang….

Sumber: http://infinatus-lagendamelayu.blogspot.com/

About these ads

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Toko belanja online menyajikan model yang unik dan berkarakter, lebih mudah memilih, menemukan, dan memiliki model favorite Anda. http://www.usrotun-store.com

Masukkan alamat email Anda untuk berlangganan melalui email.

Join 7,225 other followers

DATAstudi Information

Recent Posts

Community

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 7,225 other followers

%d bloggers like this: